Khamis, 26 Mac 2009

KHABAR HARI INI SUDAH DIBELI

Lihat, dusta mulai muntah
Isi-isi yang berwarna merah
Tapi itu bukan darah
Hanya sekelumit sumpah
Dari pojok seorang pendakwah
Bila-bila masa boleh menyamar jadi sesumpah.

Dengar, nanah mulai pecah
Bunyi-bunyi yang berentak sabar
Tapi itu bukan amanah
Hanya setitis seranah
Dari corong seorang pelapor
Bila-bila masa boleh bertukar jadi tukang kapur.

Lihat dan dengar
Muntah dan nanah
Pendakwah dan pelapor
Kini mula berpadu
Menyanggah yang satu.

mj.
masjid india.

Selasa, 24 Mac 2009

TANDA TANYA KEPALA PERENTARA BALADEWA

Salam...Sesudah hampir seminggu akalku dikudungkan oleh parang intelektual MANUSIA BERKEPALA TIGA, semalam aku bermimpi lagi. Anehnya, aku mimpikan dua peristiwa serentak. Dua peristiwa yang MANUSIA BERKEPALA TIGA sebagai pendukung utamanya. Tetapi, kali ini aku tak mengajak BALADEWA menyertai dalam mimpi ini. Entahlah, bila di alam sedar, aku rasa berdosa kerana membebankan BALADEWA. PERENTARA BALADEWA juga aku halang untuk ikut serta. Alasan aku mudah saja, gulungan filem mimpi aku tak mencukupi. Namun, PERENTARA BALADEWA tetap berkeras juga. Jika aku tak mengizinkannya ikut serta juga, pinggang aku yang memang dah cukup ramping ini, akan menjadi semakin ramping. Woi, main kotor nampak. Aku benarkannya, namun dengan dua syarat. Pertama; Mesti bawa salah satu buku hikayat terulung bangsa ini. Kedua; sebotol susu tepung dan 100 plus. Mendengar dua syarat tersebut, tiba-tiba kepala PERENTARA BALADEWA bertukar menjadi tanda tanya besar. Aku sekadar tersenyum.
PERISTIWA PERTAMA
Secara perlahan-lahan aku dan PERENTARA BALADEWA dengan tenang menyusup ke alam bawah sedar dengan sepenuhnya. Kepala PERENTARA BALADEWA masih lagi berbentuk tanda tanya. Aku tersenyum sekali lagi. Ketika kami sedang melalui KOTA KEBUNTUAN yang berhampiran dengan WILAYAH TIKUS, aku melihat TIKUS-TIKUS bertempiaran lari. Mendengar dari jerit pekik mereka, aku tahu mahkluk yang mereka gelar hantu tersebut ialah MANUSIA BERKEPALA TIGA. Oleh kerana deria baunya yang dicipta khas untuk menghidu aku, dengan mudahlah MANUSIA BERKEPALA TIGA mengesan aku. Kali ini, aku sudah tidak gentar lagi. Sahabat baiknya sudah menjadi pakatan aku. Aku cuba berinteraksi dengan MANUSIA BERKEPALA TIGA. Malangnya MANUSIA BERKEPALA TIGA tak reti bahasa rasmi bangsa ini. Aduh! Dengan kemampuan melihat isi akalnya, aku mendapat tahu MANUSIA BERKEPALA TIGA ingin merampas hak keistimewaan TIKUS-TIKUS di wilayah ini. Mengikut urat-urat akalnya, MANUSIA BERKEPALA TIGA ingin disamaratakan haknya. Woi, lebih nampak. Aku yang bukan kalangan TIKUS-TIKUS pun tak lebih-lebih. Maka, dengan rasa yang penuh geram, aku meminta PERENTARA BALADEWA terbang ke arah urat-urat akal MANUSIA BERKEPALA TIGA menggunakan tikar terbang. Aku ingin, PERENTARA BALADEWA menggunakan kelebihan kelajuan tangannya untuk menyusun tiap patah perkataan yang ada di dalam hikayat terulung bangsa ini. Seusai saja PERENTARA BALADEWA melaksanakan tugasnya, MANUSIA BERKEPALA TIGA pun tiba-tiba sebak. Aku melihat urat-urat akalnya berkata, "indah sungguh warisan ini. Alangkah baiknya jika teman-teman ku di DEWAN KESUCIAN menghayati juga hikayat ini." Melihat kejadian tersebut, bentuk tanda tanya kepala PERENTARA BALADEWA berubah sedikit sederhana. Aku sekadar tersenyum.
"TUMMM!!!". Aku bangkit secara melulu. Terkejut! Anak haram. Bunyi sedemikian sudah sangat sebati dengan tidur malam ku. Ada seorang manusia yang mencarut seorang diri setelah lapisan akalnya dinipiskan oleh arak. Perkara-perkara begini memang galak untuk membuat aku menyumpah. Rumah ini bukan milik peribadi, dikongsi ramai. Tolonglah hormati sikit. Nak mabuk tu, mabuklah. Sampai termuntah darah pun aku tak kisah. Tapi, tak perlulah nak tendang-tendang dinding dan mencarut. Alah, aku pula yang mencarut. Aku kembali menenangkan diri. Sengaja aku membiarkan minda mengingati deru-deru air sungai yang tenang ketika waktu senja. Dengan lembut, kelopak mataku ditarik mesra jemari cahaya senja.
PERISTIWA KEDUA
Perlahan-lahan aku membuka mata, panasnya. Dengan tekak yang kian pahit kehausan, aku memerhati sekeliling. Alamak, gurun yang mana satu ni? Aku terus menapak. Aku tak boleh membiarkan kecelaruan menguasai diri. Langkah yang awalnya pantas kini mulai longgar. Aku berhenti sejenak. Kepala ku tundukkan. Tiba-tiba aku ternampak sebuah cerek. Air! Itu perkataan pertama yang diluhkan oleh akal. Malangnya, cerek itu kosong dan berkarat. Aduhai. Aku hempas cerek tersebut. POOOP! Satu letupan berlaku. Aku yang tersentak dengan bunyi tersebut, menimbusi kepala dengan pasir. Lebih kurang dua minit kemudian, aku memberanikan diri melihat apa yang berlaku. YA ALLAH, PERENTARA BALADEWA rupanya. Aku berbicara dengan PERENTARA BALADEWA dengan hanya menggunakan kelopak mata. Aku mengerdip sebanyak tiga. Maknanya, "Mengapa kau di dalam cerek tu?" PERENTARA BALADEWA mengatakan MANUSIA BERKEPALA TIGA sedang mengamuk di sebuah EMPANGAN di WILAYAH BURUNG. Oleh sebab MANUSIA BERKEPALA TIGA ingin menghancurkan EMPANGAN tersebut, maka PERENTARA BALADEWA ingin menikmati kepanasan sepuas-puasnya. Ini kerana jika EMPANGAN tersebut pecah, maka nilai kepanasan akan jatuh secara mendadak. Dengan rasa yang penuh geram, aku meminta 100 plus yang ada di dalam saku PERENTARA BALADEWA. Kemudian, dengan tikar terbang, kami menuju ke WILAYAH BURUNG. Dalam perjalanan tersebut, aku mengatakan kepada PERENTARA BALADEWA; "betapa beruntungnya ada tikar terbang. tak perlu pening kepala memikirkan minyak. Nak tidur pun senang. Tak perlu saban malam berdoa agar harganya tidak melambung keesokan". Sampai saja di WILAYAH BURUNG, aku menyuruh PERENTARA BALADEWA meniup serulingnya. Woi, bukan main merdu. Semua jenis BURUNG pun mendekati PERENTARA BALADEWA. Oleh kerana aku tak fasih berbahasa rasmi BURUNG, maka PERENTARA BALADEWA lah yang menjadi wiranya kali ini. Antara intipati ucapan perdananya; "Kalian warga BURUNG mampu menjadi pembela yang berani. Kalian juga tahu MANUSIA BERKEPALA TIGA hanyalah pintar memutar belit dan juara retorik cuma. Aku berani bersumpah dengan kenyataan aku ini. Dulu, semasa aku menjadi sahabat penting MANUSIA BERKEPALA TIGA, semua perkara dia dedahkan kepada aku. Dan lihat di tangan aku ini, sebotol susu tepung. Kami di WILAYAH TIKUS mampu menikmati susu tepung ini kerana jasa kalian juga. Kami sebagai penghuni WILAYAH TIKUS berasa wajib untuk memiliki sebotol susu tepung ini. Demi mengenang kepayahan kalian. Tetapi, lihat saja MANUSIA BERKEPALA TIGA, adakah kalian sedar akan pembohongannya?" Tiba-tiba gerombolan BURUNG terbang menuju ke arah MANUSIA BERKEPALA TIGA yang mulai mengatur langkah seribu. Tanda tanya kepala PERENTARA BALADEWA kian mengecil. Aku sekadar tersenyum melihat.
Aku merasa begitu tidak selesa sekali. Badan berpeluh semacam. Dan apa yang lebih mengelirukan adalah bunyi nada lagu yang begitu aku kenali sekali. Dalam rasa yang sedikit sedar, akalku menjerit; "phone." Aku segera capai telefon yang terletak bersebelahan kumpulan puisi SN MHS; Maka Bermadahlah Bahasa. Mak, itu perkataan yang tertera di skrin. Seperti biasa, aku akan berbohong jika ditanya sudah bangun atau baru nak bangun tidur. Walau macam mana sekali pun aku berbohong, mak aku lebih tahu tabiat aku. Seusai memberi ucap selamat, aku memerhati ruang bilik aku. Dan timbul satu persoalan yang sampai sekarang(masa aku menaip catatan ini); "Mengapa kepala PERENTARA BALADEWA masih kekal menjadi tanda tanya?" Dalam seminggu ini juga aku akan tersenyum saja bila soalan itu menembusi ruang akalku.


Isnin, 16 Mac 2009

BALADEWA, MANUSIA BERKEPALA TIGA DAN SEEKOR ANAK TIKUS

Salam...semalam aku bermimpi lagi, mimpikan BALADEWA. Aku memang gemar bermimpi, kerana dengan mimpi aku semakin yakin untuk bergerak. Pedulilah siapa nak kritik. Nampaknya ungkapan BALADEWA sudah kian sebati dengan pergerakan harianku. Dalam mimpiku itu, aku melihat peribadi tersirat para BALADEWA dan juga tangan-tangan PERANTARA BALADEWA yang sentiasa mengepal. Dan apa yang lebih memeranjatkan aku adalah kemunculan makhluk berkepala tiga. Woi...dahsyat. Jika sebelum ini para BALADEWA cukup kebal, tiba-tiba kekebalan itu menjadi semakin tak bernilai. Kombinasi PERANTARA BALADEWA dan MANUSIA BERKEPALA TIGA begitu ampuh sekali pelurunya. Aku sebenarnya tidak hairan langsung dengan MANUSIA BERKEPALA TIGA tersebut. Sebelum BALADEWA yang lain masuk dalam mimpi aku, aku lebih dahulu bermimpikan MANUSIA BERKEPALA TIGA sewaktu berbengkel di Pahang. Pertama kali aku mimpikan MANUSIA BERKEPALA TIGA, kejang seluruh badan. Hanya mulut sahaja yang mampu bergerak, itu pun jadi kejang seusai mengucap. Tapi, MANUSIA BERKEPALA TIGA sebenarnya rabun jauh. Dia ingat aku pokok. BALADEWA yang sudah mula panik melihat MANUSIA BERKEPALA TIGA mula bertempiaran lari. Lari membawa tunggul-tunggul hujah yang sudah kontot. Semakin kuat BALADEWA berlari, semakin ganas MANUSIA BERKEPALA TIGA mengejar. Apa yang peliknya, MANUSIA BERKEPALA TIGA hanya berlari ke arah aku. Aku yang kurang stamina sebab tak minum 100 plus, hanya mampu berdoa kepada ALLAH. Oleh sebab sepuluh langkah aku bersamaan dengan selangkah MANUSIA BERKEPALA TIGA, maka dengan mudahlah dikejarnya aku. Ketika MANUSIA BERKEPALA TIGA cuba mendapatkan aku yang sudah kepenatan, tiba-tiba....seekor anak tikus melompat ke dada ku. ALHAMDULLILAH, anak tikus tersebut menyelamatkan aku dari mimpi ngeri. Untuk pengetahuan, tidur bersama dengan anak tikus merupakan perkara biasa buatku kini. Ini kerana tempat tinggal aku sekarang adalah di WILAYAH TIKUS.

Kepalanya Tertanggal

ketika dia bangkit dari mimpi
dia melihat jasmaninya
tanpa kepala
di kepingan kaca yang pecah
membuatnya benar-benar resah.

dia terus mencari
kepalanya di celahan kaca
namun hampa terus menghambatnya.

dia kembali ke perdu waktu
untuk mengutip bicara
ketika berdepan dengan retorika
akal silapnya.
dia terus mengarus
dengan membawa akaliah yang tewas.

ketika mengarus itulah
baru dia tersedar
kepalanya tertanggal di kamar insani
yang jarang sekali dia masuki.

Mj
september 08, masjid jamek,kl.

p/s: Puisi ini tersiar di ruangan Yang Indah Itu Bahasa (Utusan Sarawak). Dalam banyak puisi yang pernah aku hasilkan, puisi ini yang paling ku gemari.

Ahad, 22 Februari 2009

BALADEWA

Salam. Semalam, sementara menunggu perlawanan bola antara MU lawan Blackburn, tiba-tiba emosiku jadi kacau. Mungkin kerana perkataan BALADEWA yang sudah dua kali aku terima. Aku tak menyalahkan pemberi kata itu. Aku faham kenapa perkataan itu digunakan, sangat-sangat faham. Kacau emosiku membuatkan akal mengarus mencari puncanya. Tetapi, ruangnya masih kelam. Ahhh...biarlah.

Sabtu, 14 Februari 2009

SALAH AKU

Dalam dua minggu terakhir ni, kepenatan sentiasa menghambatku. Ini berkaitan dengan PeTA dan bengkel yang dianjurkan oleh jabatan. Aku sendiri pun sudah mulai merasa amat gelisah apabila saban pagi bangun tidur dan melihat kelendar, PeTA semakin menghampiri.

Memang benar jika mental kita penat, automatiknya fizikal juga akan lemah. Itu yang aku alami dalam dua minggu ni. Sepanjang bengkel, aku sentiasa dibaluti resah. Aku sendiri pun tak mengetahui kena hari pertama berbengkel, aku sudah mula putus asa. Gementar tak payah cakap la. Sekarang bila aku menungkan kembali, bagus juga andainya aku tak ikut berbengkel. Benar, aku mendapat banyak ilmu sepanjang berbengkel, tetapi jika tak bersedia sekali pun, tak guna juga.

Jadi, aku simpulkan di sini, kegagalan aku bukan berpunca kerana orang lain, ianya datang kerana aku sendiri!

Rabu, 7 Januari 2009

kehilangan itu permulaan kembara ingatan

hampir tiga minggu aku menyepi. aku sama juga seperti budak sekolah yang lain, bercuti. maka, aku kena juga bercuti menulis dalam utusan maya ini. hanya penulisan secara konvesional saja yang giat aku lakukan. takut mata fikir tumpul.

sepanjang bercuti, ada beberapa perkara yang mengusik naluriku. kebanyakannya hal-hal peribadi. tapi yang paling meninggalkan kesan, masuk tahun ini, sudah empat tahun aku 'kehilangan' sahabat. hilang bukan kerana meninggal tapi hilang tanpa dapat dikesan. hilangnya mengejut. dia merupakan salah seorang daripada lima sahabat baik aku. malah, dikalangan kami, dialah yang paling penyabar. itu tafsiran aku dahulu. tapi sekarang, aku mengira kesabarannya adalah kerana sifat rendah dirinya. ini kerana kekurangannya adalah kerana dia tak pernah pergi sekolah. aku bukan ingin mengaibkan sahabat sendiri, tapi itu adalah realiti. namun jika nak dikira dari segi pengalaman, dialah yang paling berpengalaman. mana taknya, umur belum dua belas tahun lagi dia dah ikut orang tua-tua masuk hutan(mengikut 'bapanya' menjadi pembalak). hutan itulah yang mengajarnya untuk lebih memahami rentak hidup. baginya, pahit manis sesebuah peristiwa adalah rempah pengalaman.

seminggu sebelum menghilangkan diri, aku adalah orang yang paling kerap bersamanya. aku sendiri pun tak tahu kekerapannya itu seolah-olah dia ingin melangsaikan semua 'hutang' perasaan terhadap keluarganya dan sahabat. banyak perkara yang tak diduga diluahnya. perwatakan humor yang ada pada dirinya pun lenyap dalam masa seminggu itu juga. "memang benar aku tak sekolah, tapi takkan ada hal, aku yang kena." sampai sekarang ayat tersebut masih menjadi igauan kepada ku. aku sendiri pun tak tahu kenapa rasa bersalah sentiasa mencengkamku. adakah aku bersalah kerana membiarkan dia pergi begitu sahaja?

sampai sekarang aku sentiasa menunggu khabarnya. malah sebelum aku pergi ke KL ni, aku berharap sahabat yang lain juga teruskan usaha mencarinya kerana sampai sekarang aku percaya dia tetap masih di Sarawak. ini kerana antara aku dan dia, masih ada 'sengketa' yang belum selesai.