Selasa, 24 Mac 2009

TANDA TANYA KEPALA PERENTARA BALADEWA

Salam...Sesudah hampir seminggu akalku dikudungkan oleh parang intelektual MANUSIA BERKEPALA TIGA, semalam aku bermimpi lagi. Anehnya, aku mimpikan dua peristiwa serentak. Dua peristiwa yang MANUSIA BERKEPALA TIGA sebagai pendukung utamanya. Tetapi, kali ini aku tak mengajak BALADEWA menyertai dalam mimpi ini. Entahlah, bila di alam sedar, aku rasa berdosa kerana membebankan BALADEWA. PERENTARA BALADEWA juga aku halang untuk ikut serta. Alasan aku mudah saja, gulungan filem mimpi aku tak mencukupi. Namun, PERENTARA BALADEWA tetap berkeras juga. Jika aku tak mengizinkannya ikut serta juga, pinggang aku yang memang dah cukup ramping ini, akan menjadi semakin ramping. Woi, main kotor nampak. Aku benarkannya, namun dengan dua syarat. Pertama; Mesti bawa salah satu buku hikayat terulung bangsa ini. Kedua; sebotol susu tepung dan 100 plus. Mendengar dua syarat tersebut, tiba-tiba kepala PERENTARA BALADEWA bertukar menjadi tanda tanya besar. Aku sekadar tersenyum.
PERISTIWA PERTAMA
Secara perlahan-lahan aku dan PERENTARA BALADEWA dengan tenang menyusup ke alam bawah sedar dengan sepenuhnya. Kepala PERENTARA BALADEWA masih lagi berbentuk tanda tanya. Aku tersenyum sekali lagi. Ketika kami sedang melalui KOTA KEBUNTUAN yang berhampiran dengan WILAYAH TIKUS, aku melihat TIKUS-TIKUS bertempiaran lari. Mendengar dari jerit pekik mereka, aku tahu mahkluk yang mereka gelar hantu tersebut ialah MANUSIA BERKEPALA TIGA. Oleh kerana deria baunya yang dicipta khas untuk menghidu aku, dengan mudahlah MANUSIA BERKEPALA TIGA mengesan aku. Kali ini, aku sudah tidak gentar lagi. Sahabat baiknya sudah menjadi pakatan aku. Aku cuba berinteraksi dengan MANUSIA BERKEPALA TIGA. Malangnya MANUSIA BERKEPALA TIGA tak reti bahasa rasmi bangsa ini. Aduh! Dengan kemampuan melihat isi akalnya, aku mendapat tahu MANUSIA BERKEPALA TIGA ingin merampas hak keistimewaan TIKUS-TIKUS di wilayah ini. Mengikut urat-urat akalnya, MANUSIA BERKEPALA TIGA ingin disamaratakan haknya. Woi, lebih nampak. Aku yang bukan kalangan TIKUS-TIKUS pun tak lebih-lebih. Maka, dengan rasa yang penuh geram, aku meminta PERENTARA BALADEWA terbang ke arah urat-urat akal MANUSIA BERKEPALA TIGA menggunakan tikar terbang. Aku ingin, PERENTARA BALADEWA menggunakan kelebihan kelajuan tangannya untuk menyusun tiap patah perkataan yang ada di dalam hikayat terulung bangsa ini. Seusai saja PERENTARA BALADEWA melaksanakan tugasnya, MANUSIA BERKEPALA TIGA pun tiba-tiba sebak. Aku melihat urat-urat akalnya berkata, "indah sungguh warisan ini. Alangkah baiknya jika teman-teman ku di DEWAN KESUCIAN menghayati juga hikayat ini." Melihat kejadian tersebut, bentuk tanda tanya kepala PERENTARA BALADEWA berubah sedikit sederhana. Aku sekadar tersenyum.
"TUMMM!!!". Aku bangkit secara melulu. Terkejut! Anak haram. Bunyi sedemikian sudah sangat sebati dengan tidur malam ku. Ada seorang manusia yang mencarut seorang diri setelah lapisan akalnya dinipiskan oleh arak. Perkara-perkara begini memang galak untuk membuat aku menyumpah. Rumah ini bukan milik peribadi, dikongsi ramai. Tolonglah hormati sikit. Nak mabuk tu, mabuklah. Sampai termuntah darah pun aku tak kisah. Tapi, tak perlulah nak tendang-tendang dinding dan mencarut. Alah, aku pula yang mencarut. Aku kembali menenangkan diri. Sengaja aku membiarkan minda mengingati deru-deru air sungai yang tenang ketika waktu senja. Dengan lembut, kelopak mataku ditarik mesra jemari cahaya senja.
PERISTIWA KEDUA
Perlahan-lahan aku membuka mata, panasnya. Dengan tekak yang kian pahit kehausan, aku memerhati sekeliling. Alamak, gurun yang mana satu ni? Aku terus menapak. Aku tak boleh membiarkan kecelaruan menguasai diri. Langkah yang awalnya pantas kini mulai longgar. Aku berhenti sejenak. Kepala ku tundukkan. Tiba-tiba aku ternampak sebuah cerek. Air! Itu perkataan pertama yang diluhkan oleh akal. Malangnya, cerek itu kosong dan berkarat. Aduhai. Aku hempas cerek tersebut. POOOP! Satu letupan berlaku. Aku yang tersentak dengan bunyi tersebut, menimbusi kepala dengan pasir. Lebih kurang dua minit kemudian, aku memberanikan diri melihat apa yang berlaku. YA ALLAH, PERENTARA BALADEWA rupanya. Aku berbicara dengan PERENTARA BALADEWA dengan hanya menggunakan kelopak mata. Aku mengerdip sebanyak tiga. Maknanya, "Mengapa kau di dalam cerek tu?" PERENTARA BALADEWA mengatakan MANUSIA BERKEPALA TIGA sedang mengamuk di sebuah EMPANGAN di WILAYAH BURUNG. Oleh sebab MANUSIA BERKEPALA TIGA ingin menghancurkan EMPANGAN tersebut, maka PERENTARA BALADEWA ingin menikmati kepanasan sepuas-puasnya. Ini kerana jika EMPANGAN tersebut pecah, maka nilai kepanasan akan jatuh secara mendadak. Dengan rasa yang penuh geram, aku meminta 100 plus yang ada di dalam saku PERENTARA BALADEWA. Kemudian, dengan tikar terbang, kami menuju ke WILAYAH BURUNG. Dalam perjalanan tersebut, aku mengatakan kepada PERENTARA BALADEWA; "betapa beruntungnya ada tikar terbang. tak perlu pening kepala memikirkan minyak. Nak tidur pun senang. Tak perlu saban malam berdoa agar harganya tidak melambung keesokan". Sampai saja di WILAYAH BURUNG, aku menyuruh PERENTARA BALADEWA meniup serulingnya. Woi, bukan main merdu. Semua jenis BURUNG pun mendekati PERENTARA BALADEWA. Oleh kerana aku tak fasih berbahasa rasmi BURUNG, maka PERENTARA BALADEWA lah yang menjadi wiranya kali ini. Antara intipati ucapan perdananya; "Kalian warga BURUNG mampu menjadi pembela yang berani. Kalian juga tahu MANUSIA BERKEPALA TIGA hanyalah pintar memutar belit dan juara retorik cuma. Aku berani bersumpah dengan kenyataan aku ini. Dulu, semasa aku menjadi sahabat penting MANUSIA BERKEPALA TIGA, semua perkara dia dedahkan kepada aku. Dan lihat di tangan aku ini, sebotol susu tepung. Kami di WILAYAH TIKUS mampu menikmati susu tepung ini kerana jasa kalian juga. Kami sebagai penghuni WILAYAH TIKUS berasa wajib untuk memiliki sebotol susu tepung ini. Demi mengenang kepayahan kalian. Tetapi, lihat saja MANUSIA BERKEPALA TIGA, adakah kalian sedar akan pembohongannya?" Tiba-tiba gerombolan BURUNG terbang menuju ke arah MANUSIA BERKEPALA TIGA yang mulai mengatur langkah seribu. Tanda tanya kepala PERENTARA BALADEWA kian mengecil. Aku sekadar tersenyum melihat.
Aku merasa begitu tidak selesa sekali. Badan berpeluh semacam. Dan apa yang lebih mengelirukan adalah bunyi nada lagu yang begitu aku kenali sekali. Dalam rasa yang sedikit sedar, akalku menjerit; "phone." Aku segera capai telefon yang terletak bersebelahan kumpulan puisi SN MHS; Maka Bermadahlah Bahasa. Mak, itu perkataan yang tertera di skrin. Seperti biasa, aku akan berbohong jika ditanya sudah bangun atau baru nak bangun tidur. Walau macam mana sekali pun aku berbohong, mak aku lebih tahu tabiat aku. Seusai memberi ucap selamat, aku memerhati ruang bilik aku. Dan timbul satu persoalan yang sampai sekarang(masa aku menaip catatan ini); "Mengapa kepala PERENTARA BALADEWA masih kekal menjadi tanda tanya?" Dalam seminggu ini juga aku akan tersenyum saja bila soalan itu menembusi ruang akalku.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan