Khamis, 4 Jun 2009

CUBA MENILAI KEMBALI

salam...minggu ini memang menjanjikan kepenatan yang amat sangat. Bermula dengan 'konflik dalam diri' untuk segulung diploma hinggalah ke perkara yang paling menyedihkan, berpindah lagi.

Sepanjang tiga tahun, bersamaan enam semester, aku menetap di tiga empat tempat: 1. Asrama Aswara. 2. Penara. 3. Cendana dan 4. Selangor Mansion(Masjid India). Aku paling sukakan yang keempat. Jika hendak difikirkan, yang keempat itu tidaklah menjanjikan keselesaan. Namun, yang keempat inilah yang memberi aku ruang untuk melihat wajah sendiri, terlalu sulit untuk diceritakan.

Ruang yang keempat ini, (jika mereka yang pernah datang melihat, tentu tahu) seperti lubang kubur, barangkali. Aku bercakap bukan untuk memberi makna rasanya, tetapi saiznya. Kadang-kadang, aku menjadi amat sensetif apabila duduk di ruang kecil itu. Bayangkanlah betapa sempit untuk aku dan buku-buku ku. Tapi, mengapa aku sukakan yang keempat itu? Kerana nilai yang ada di situ. Aku menjadi sangat bebas, (dari segi rohaniah, bukan fizikal) untuk melakukan apa sahaja. Jika sebelum ini, ruang untuk aku membaca agak terbatas, di ruang kecil itu aku menjadi sangat lapar dengan ayat-ayat yang berkesan untuk membunuh ego dan simpati aku.

Aku juga akan berpindah keluar dari ASWARA. Memang aku inginkan perkara ini cepat berlaku. Aku sudah semakin bosan berada di dalam kolam yang banyak sekali kayunya. Tetapi, aku akan tetap merindui satu lubuk kecil di kolam itu, perpustakaannya. Sumpah, sebelum datang ke ASWARA, bahan bacaan aku amat sedikit sekali. Selepas datang ke ASWARA lah aku menjadi begitu ghairah. Siapa tak ghairah jika berdepan dengan buku-buku yang hanya menjadi ramuan mimpi sebelum ini(buku-buku SN, pemenang-pemenang hadiah nobel, cth:gabriel garcia marques kerana bukunya, sumpah tujuh keturunan(terjemahan) menjadi buku luar negara yang pertama kali aku baca, dan buku-buku ilmiah yang lain). Biarpun bahan-bahannya masih tak banyak, aku tetap gembira juga. Jika di kampung dulu, buku-buku teks sastera lah yang menjadi makanan harianku. Malah, sampai sekarang aku tak pulangkan buku tu. Aku sanggup bayar ganti rugi. Tetapi buku sastera inggeris aku pulangkan semula, aku lemah dalam bahasa itu. Hanya sekarang aku cuba baca kembali buku yang sepatutnya aku baca dulu lagi, John Steinbeck, The Pearl, itu pun masih merujuk kamus. Buku sastera melayu aku 'simpan' sebab aku memikirkan itulah buku yang termampu aku miliki jika hendak aku nilaikan diri sendiri dari segi material, aku tak mampu. Sebab itulah, aku menjadi pengumpul akhbar lama, majalah lama dan buku lama. Semuanya menjadi sangat berharga. Dan, buku yang aku paling sayangi sampai sekarang ialah Titian Zaman. Buku tu aku jumpa di timbunan sampah! Dan kerana buku itu juga, aku menjadi ketagih untuk 'membuat' puisi.

Kenapa aku bercerita tentang perkara di atas? Dan jika hendak dinilai, tiada apa-apa yang berkaitan. Itu jika dari sudut atasannya sahaja. Dua perkara di atas jugalah yang banyak mengubah aku. Maka, aku lebih senang membuat kesimpulan begini; "Merungkai kekusutan itu lebih senang dan bermakna daripada memulakan kekusutan itu sendiri." Dan mungkin juga akan tiba masa untuk aku dari terus merempuh? Entah!

salam.