Rabu, 7 Januari 2009

kehilangan itu permulaan kembara ingatan

hampir tiga minggu aku menyepi. aku sama juga seperti budak sekolah yang lain, bercuti. maka, aku kena juga bercuti menulis dalam utusan maya ini. hanya penulisan secara konvesional saja yang giat aku lakukan. takut mata fikir tumpul.

sepanjang bercuti, ada beberapa perkara yang mengusik naluriku. kebanyakannya hal-hal peribadi. tapi yang paling meninggalkan kesan, masuk tahun ini, sudah empat tahun aku 'kehilangan' sahabat. hilang bukan kerana meninggal tapi hilang tanpa dapat dikesan. hilangnya mengejut. dia merupakan salah seorang daripada lima sahabat baik aku. malah, dikalangan kami, dialah yang paling penyabar. itu tafsiran aku dahulu. tapi sekarang, aku mengira kesabarannya adalah kerana sifat rendah dirinya. ini kerana kekurangannya adalah kerana dia tak pernah pergi sekolah. aku bukan ingin mengaibkan sahabat sendiri, tapi itu adalah realiti. namun jika nak dikira dari segi pengalaman, dialah yang paling berpengalaman. mana taknya, umur belum dua belas tahun lagi dia dah ikut orang tua-tua masuk hutan(mengikut 'bapanya' menjadi pembalak). hutan itulah yang mengajarnya untuk lebih memahami rentak hidup. baginya, pahit manis sesebuah peristiwa adalah rempah pengalaman.

seminggu sebelum menghilangkan diri, aku adalah orang yang paling kerap bersamanya. aku sendiri pun tak tahu kekerapannya itu seolah-olah dia ingin melangsaikan semua 'hutang' perasaan terhadap keluarganya dan sahabat. banyak perkara yang tak diduga diluahnya. perwatakan humor yang ada pada dirinya pun lenyap dalam masa seminggu itu juga. "memang benar aku tak sekolah, tapi takkan ada hal, aku yang kena." sampai sekarang ayat tersebut masih menjadi igauan kepada ku. aku sendiri pun tak tahu kenapa rasa bersalah sentiasa mencengkamku. adakah aku bersalah kerana membiarkan dia pergi begitu sahaja?

sampai sekarang aku sentiasa menunggu khabarnya. malah sebelum aku pergi ke KL ni, aku berharap sahabat yang lain juga teruskan usaha mencarinya kerana sampai sekarang aku percaya dia tetap masih di Sarawak. ini kerana antara aku dan dia, masih ada 'sengketa' yang belum selesai.